Kemaskini 29 Mac 2020

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 68 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 388 kes. Sehingga 29 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 150 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,470 kes. Sehingga kini, seramai 73 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 52 kes memerlukan bantuan pernafasan. Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini terdapat pertambahan tujuh (7) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 34 kes.

Tambahan, terdapat satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19 yang telah dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan. Pelaporan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 35 orang setakat ini. Kes kematian ke-35 (kes ke-1952) merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berusia 57 tahun. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia. Beliau telah mula bergejala 5 hari sebelum dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada 17 Mac 2020 dan kemudiannya ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh. Hasil ujian pengesahan COVID-19 telah didapati positif pada 18 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot hari demi hari, dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 4.00 petang. - KP KKM

saringan ujian 29 mac

Sumber channel telegram Kementerian Kesihatan Malaysia