Muzium Felda Lurah Bilut merupakan tarikan orang luar untuk datang ke Felda Lurah Bilut. Telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Haji Abdul Razak pada bulan September 2005. Muzium ini adalah pejabat lama Felda Lurah Bilut yang dibina pada Julai 1958 dan telah diubahsuai. Muzium ini berkonsepkan rumah Melayu tradisional dan mempamerkan pelbagai koleksi sejarah peneroka juga kronologi pembukaan Felda Lurah Bilut dan artifak-artifak lama yang berkaitan dengan sejarah Felda Lurah Bilut. Muzium FELDA Lurah Bilut dibuka setiap hari kepada orang ramai dan tiada bayaran dikenakan. 

Apa yang menarik di Muzium Felda Lurah Bilut ini adalah pengunjung boleh melihat sendiri contoh rumah peneroka FELDA yang asal yang mempunyai satu bilik serta pelbagai peralatan di dalamnya. Selain pengunjung, pasangan pengantin baharu juga kerap memilih muzium ini untuk mengabadikan kenangan detik manis mereka.  Pelbagai koleksi sejarah peneroka dipamerkan seperti peralatan menoreh, membina rumah dan sebilah kapak istimewa sumbangan Haji Kamaruddin Mat Doa yang menyertai kumpulan awal peneroka.  Di muzium ini turut memaparkan pelbagai artifak bahan sejarah mengenai aktiviti dan perkembangan Felda serta pembangunan awal yang di laksanakan.

 

muziumfeldalurahbilut